Sunday, October 20, 2013

39 masih hilang akibat Taufan Wipha

OSHIMA 17 Okt. - Pasukan penyelamat terpaksa meredah lumpur dan runtuhan kediaman bagi mencari berpuluh-puluh penduduk yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh akibat Taufan Wipha, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang setakat ini.
Beratus-ratus anggota polis, bomba dan tentera menjalankan kerja mencari sepanjang malam di satu kawasan di mana bangunan-bangunan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.
Sekurang-kurang 39 orang masih hilang akibat Taufan Wipha, yang merupakan taufan terkuat melanda Jepun dalam tempoh satu dekad.
Polis berkata, seorang wanita terbunuh di barat Tokyo dan di pulau Oshima.
Kira-kira 15 anggota polis menggunakan gergaji dan penyodok untuk mengeluarkan seorang wanita warga emas yang tertimbus dalam lumpur dan runtuhan bangunan.
Kira-kira 8,000 penduduk yang tinggal di pulau Oshima mencari perlindungan di pusat pemindahan sebelum taufan itu membadai.
Sementara itu, Datuk Bandar Oshima, Masafumi Kawashima dikecam hebat kerana tidak mengeluarkan arahan berpindah, walaupun jabatan kaji cuaca berulang kali mengeluarkan amaran taufan besar.
Kawashima yang menghadiri satu persidangan ketika taufan itu melanda, semasa bercakap kepada pemberita berkata, beliau kesal tidak dapat memberitahu orang ramai supaya mencari pelindungan.
Penerbangan keluar dan masuk ke Tokyo kembali pulih hari ini, selepas kira-kira 400 penerbangan dibatalkan, semalam yang menjejaskan lebih 60,000 penumpang. - AFP

No comments:

Post a Comment